
KOTA KINABALU, 13 Februari – Polis menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah berskala besar menerusi Op Coleoptera dan Op Bayu 2 dengan jumlah rampasan serta sitaan mencecah hampir RM244 juta.
- Op Coleoptera dan Op Bayu 2 menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah berskala besar di Sabah dan sekitar.
- Rampasan termasuk lebih 3,000 kg methamphetamine, ketamin, pil ekstasi dan Erimin 5; keseluruhan nilai hampir RM244 juta.
- Beberapa siri serbuan membawa kepada 12 tangkapan di Penampang, Teluk Sepanggar, Pelabuhan Klang dan Kota Kinabalu.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata Op Coleoptera menyaksikan kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa terbesar di Sabah bagi dekad ini.
Operasi bersepadu melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Sabah serta beberapa agensi penguat kuasa lain membawa kepada rampasan lebih 3,000 kilogram methamphetamine selain ketamin, pil ekstasi dan Erimin 5.
Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan harta dianggarkan mencecah RM174 juta.
Lapan individu berusia antara 23 hingga 45 tahun turut ditahan dalam beberapa siri serbuan di Penampang, Pelabuhan Teluk Sepanggar dan Pelabuhan Klang.
“PDRM tidak akan berkompromi dalam memastikan rangkaian sindiket berbahaya ini ditumpaskan sepenuhnya.
“Sindiket berkenaan dipercayai menggunakan laluan laut sebagai kaedah utama pengangkutan serta menjadikan kontena di premis logistik sebagai tempat penyimpanan sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa.
“Kegiatan itu dipercayai telah aktif sejak beberapa tahun lalu,” katanya dalam sidang media di sini.
Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Datuk Seri Mohd Khalid turut memaklumkan, kejayaan Op Bayu 2 yang menumpaskan satu lagi sindiket pengedaran dadah bernilai hampir RM70 juta selepas empat individu ditahan.
Lebih setengah tan pelbagai jenis dadah dirampas di sekitar Penampang dan Kota Kinabalu.
Operasi bermula 5 Februari lalu di Bundusan, Penampang apabila dua lelaki tempatan diberkas bersama lebih 100 kilogram methamphetamine dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Siasatan lanjut membawa kepada beberapa serbuan susulan yang menemukan syabu, serbuk dan pil ekstasi, ketamin serta Erimin 5 dengan jumlah keseluruhan 537.804 kilogram.
Rampasan itu dianggarkan mampu menampung kira-kira 339,000 penagih bagi sekali penggunaan.
“Kesemua tangkapan dan rampasan disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
“Empat suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita tempatan telah direman bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.