Sindiket dadah antarabangsa tumpas, rampasan cecah RM37.3 juta

Foto hiasan

IPOH, 23 Januari – Polis berjaya membongkar satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa dalam satu operasi khas di sini dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM37.3 juta yang dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Perak, hasil risikan berterusan dan maklumat awam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rampasan besar: 843.33 kg methamphetamine dan 618.24 kg MDMA ditemui bersama bahan kimia serta alat pemprosesan dadah.
  • Operasi dedahkan sindiket menggunakan warga asing sebagai koordinator dan menyewa kediaman elit sebagai stor strategik.
  • Dua suspek ditahan; satu lagi dalang warga China dikesan sering keluar masuk negara sedang dikesan untuk tindakan lanjut.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi dilakukan ke atas sebuah rumah banglo di Jalan Tun Dr Ismail, Ipoh pada 16 Januari lalu, yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan dadah oleh sindiket yang didalangi warga asing.

“Dadah yang dirampas ini berpotensi memudaratkan sehingga 8.4 juta pengguna. Sindiket ini dipercayai aktif sejak Disember 2024.

“Modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan menggunakan warga asing sebagai koordinator serta menyewa kediaman elit yang dijadikan lokasi strategik untuk penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini.

Hasil pemeriksaan menemui dadah disyaki jenis methamphetamine seberat 843.33 kilogram, bahan kimia serta pelbagai peralatan memproses dadah.

Pemeriksaan lanjut di kawasan parkir kenderaan turut menemukan 618.24 kilogram bahan yang diproses menjadi ketulan menyerupai simen dan disahkan mengandungi dadah jenis MDMA.

Dalam operasi tersebut, polis menahan dua suspek dan telah direman selama 13 hari sehingga 29 Januari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

JSJN kini sedang mengesan seorang lagi lelaki warga China yang dipercayai dalang utama sindiket yang telah keluar masuk Malaysia sebanyak lima kali dengan kemasukan terakhir pada Ogos 2025.m

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan