
LAHAD DATU, 11 April – Seorang wanita maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Batu 8, Jalan Silam, di sini petang tadi.
- Kemalangan melibatkan lori, jentera pengorek, kereta Proton Saga FLX, MPV Perodua Alza dan motosikal di Batu 8, Jalan Silam.
- Pasukan bomba dikerah 11 anggota bersama tiga jentera; panggilan kecemasan diterima 4.55 petang, tiba di lokasi pada 5.16 petang.
- Proton Saga FLX membawa enam penumpang; beberapa dihantar ke hospital sebelum bomba tiba; pemandu MPV dan operator jentera pengorek dilaporkan selamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid memberitahu, kemalangan melibatkan sebuah lori, jentera pengorek, sebuah kereta, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah motosikal.
“Kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.55 petang, dan mengarahkan 11 anggota bomba bersama tiga jentera untuk ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada pukul 5.16 petang dan mendapati kemalangan berlaku melibatkan kenderaan dari dua arah bertentangan. Excavator berada di kawasan pembinaan Projek Pan Borneo.
“Sebuah kereta iaitu Proton Saga FLX dinaiki enam orang mangsa. Empat daripadanya, termasuk seorang lelaki dewasa dan tiga kanak-kanak, sudah dihantar ke hospital sebelum pasukan bomba tiba. Dua lagi mangsa wanita dewasa ditemui di lokasi kejadian, di mana seorang disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala seorang lagi cedera dan dihantar ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya lagi, tiga lelaki yang menaiki MPV Perodua Alza serta pemandu jentera pengorek dilaporkan selamat.
Manakala pemandu lori dan penunggang motosikal turut dibawa ke hospital lebih awal oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
Operasi bomba ditamatkan pada pukul 6.29 petang.