Sembilan lelaki ditahan susulan pergaduhan berhampiran masjid di Tangga Batu

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar

BATU BERENDAM, 16 Mac – Polis Melaka menahan sembilan lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan yang tular di media sosial.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pergaduhan berlaku di tepi jalan berhampiran Masjid Ar-Rabbani, Tangga Batu, awal pagi dalam bulan puasa.
  • Polis merampas topi keledar dan motosikal; kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
  • Siasatan awal mendapati punca pergaduhan berkaitan dakwaan mangsa menyebabkan adik suspek ditahan berhubung kes curi motosikal.

Kejadian itu memaparkan sekumpulan lelaki bergaduh di tepi jalan berhampiran Masjid Ar-Rabbani, Tangga Batu, awal pagi semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kesemua suspek berusia berusia antara 18 hingga 30 tahun dan merupakan penduduk tempatan di kawasan Tangga Batu.

Polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut, termasuk topi keledar dan motosikal.

“Saya ingin mengingatkan sekali lagi kepada kumpulan motosikal, khususnya menjelang Hari Raya, supaya tidak berkumpul dan mencetuskan kekecohan, terutama di kawasan bandar dan kawasan perumahan.

“Kejadian kali ini berlaku di hadapan masjid dan dalam bulan puasa. Sepatutnya bulan yang mulia ini dimanfaatkan untuk melakukan amal ibadah, dan masjid adalah tempat untuk beribadat,” katanya dalam sidang media Op Laras di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Berendam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, mangsa yang merupakan buruh binaan berusia 24 tahun membuat laporan polis selepas cedera dipukul sekumpulan lelaki di masjid berkenaan.

Siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila seorang suspek tidak puas hati dengan mangsa yang didakwa menjadi punca adiknya ditahan polis berhubung kes curi motosikal.