
PUTRAJAYA 30 Januari –Sebuah rangkaian pusat urut terkemuka disyaki membayar RM2.7 juta setahun sebagai wang perlindungan kepada pegawai agensi penguat kuasa, termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk melindungi perniagaan daripada tindakan.
- Rangkaian pusat urut disyaki membayar RM2.7 juta setahun sebagai wang perlindungan kepada pegawai penguat kuasa.
- Lima individu ditahan, termasuk empat pegawai penguat kuasa, dan 16 saksi dirakam keterangan untuk siasatan SPRM.
- SPRM membekukan 124 akaun bernilai RM13.3 juta; amalan perakaunan dua lapis menyebabkan kebocoran cukai dianggarkan RM7.56 juta setahun.
Pendedahan itu dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan siasatan terhadap kegiatan rasuah yang dipercayai turut melibatkan urusan memudah cara permit pekerja asing.
Siasatan berkenaan membawa kepada penahanan lima individu, terdiri daripada empat pegawai penguat kuasa dan seorang pesara agensi penguat kuasa.
Daripada jumlah itu, empat suspek direman empat hari hingga 2 Februari ini, selepas Majistret Ezrene Zakariah membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Manakala, seorang lagi suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia 30 hingga 60-an ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya antara pukul 5 petang hingga 7 malam semalam.
“Suspek disyaki menerima suapan bagi melindungi operasi pusat urut serta memudah cara kelulusan dan pengurusan permit pekerja asing,” menurut sumber.
Setakat ini, 16 saksi telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
Dalam perkembangan berkaitan, SPRM menjalankan penggeledahan di enam lokasi sekitar Lembah Klang, melibatkan pejabat serta kediaman individu yang dikenal pasti.
Siasatan turut membawa kepada pembekuan 124 akaun perbankan milik individu dan syarikat dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM13.3 juta.
Sumber memaklumkan, rangkaian pusat urut terbabit dipercayai mengamalkan sistem perakaunan dua lapis, dengan kira-kira 80 peratus jualan tunai tidak dilaporkan.
Tindakan berkenaan sekali gus mengakibatkan anggaran kebocoran cukai sebanyak RM7.56 juta setahun.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.
Siasatan turut meneliti kemungkinan elemen kesalahan jenayah lain, termasuk bawah aktiviti pengubahan wang haram.