
SEREMBAN, 4 Februari- Premis makanan yang didakwa mencuci lebihan makanan untuk dimasak dan dijual semula telah dikenakan tindakan penguatkuasaan dan diarahkan tutup selama 14 hari bermula semalam.
- Premis yang didakwa mencuci lebihan makanan diarahkan tutup 14 hari dan dikenakan kompaun di bawah undang-undang makanan.
- JKNNS tekankan kebersihan dan keselamatan makanan penting untuk mencegah keracunan makanan.
- Orang ramai dinasihatkan amalkan "perhati dan pilih" serta "lihat, hidu, rasa" ketika memilih premis makanan.
Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) memaklumkan arahan penutupan premis tersebut dilakukan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983, serta pengeluaran notis kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
“Pada hari ketiga pihak penguat kuasa akan buat pemeriksaan semula sama ada tindakan telah diambil. JKNNNS memandang serius isu kebersihan dan keselamatan makanan.
“Orang ramai terutama pemilik, pengusaha dan pengendali makanan diwajibkan untuk memastikan aspek keselamatan makanan terjaga.
“Pengabaian ke atas aspek kebersihan dan keselamatan makanan boleh menyebabkan kejadian keracunan. JKNNS sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna,” menurut kenyataan hari ini.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan makanan dengan mengamalkan “perhati dan pilih” semasa memilih premis makanan serta “lihat, hidu, rasa” kerana ia langkah paling mudah untuk mengelakkan keracunan makanan.
Semalam, tular di media sosial apabila seorang pengguna Facebook memuat naik rakaman dan gambar memaparkan seorang pekerja kedai dipercayai sedang membasuh lebihan makanan seperti ayam dan daging untuk digunakan semula keesokan harinya.