
KUANTAN, 28 Februari – Tempoh reman pelajar sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di sini yang disiasat kerana memuat naik gambar memijak al-Quran dan hantaran menghina Rasulullah disambung sehingga 3 Mac (Selasa).
- Tempoh reman pelajar IPTA disambung sehingga 3 Mac untuk membolehkan siasatan diteruskan.
- Suspek berusia 21 tahun disiasat berhubung gambar memijak al-Quran dan hantaran menghina Rasulullah.
- Pihak polis merampas sebuah naskhah al-Quran yang dipercayai digunakan oleh suspek.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Daerah Kuantan, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Ashari Abu Samah dalam satu pemakluman secara ringkas melalui aplikasi WhatsApp.
“Perintah lanjutan reman terhadap lelaki berusia 21 tahun itu dibenarkan bagi membolehkan siasatan diteruskan.
“Setakat ini pihak polis hanya membuat rampasan senaskhah al-Quran yang dipercayai digunakan oleh suspek,” menurut hantaran itu.
Kes disiasat bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.