
SEBERANG JAYA, 12 Mac – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat insiden enam remaja termasuk tiga di bawah umur yang dikesan cuba menghidupkan semula ideologi pengganas kumpulan Daesh, bulan lalu.
- KPM sedia memberi kerjasama menangani isu ekstremis membabitkan pelajar sekolah.
- KPM memantau penglibatan pelajar untuk mengelak kemasukan anasir keganasan ke institusi pendidikan.
- Enam remaja ditahan; suspek lafaz bai'ah kepada IS dan dirancang serangan terhadap balai polis serta fasiliti awam.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, KPM sedia memberi kerjasama dalam menangani isu ekstremis membabitkan pelajar sekolah.
Ini termasuk memantau penglibatan pelajar bagi mengelak kemasukan sebarang anasir keganasan di institusi pendidikan di bawah KPM.
“Jadi kita bekerjasama dengan sangat rapat dengan pihak berkuasa bagi memastikan baik pengaruh ataupun tindakan-tindakan yang diambil itu selaras dengan undang-undang dan juga bagi melindungilah anak-anak kita, para guru kita dan keseluruhan institusi pendidikan kita daripada pengaruh, khususnya yang terkait rapat dengan ekstremisme dan keganasan ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Sekolah Dalam Hospital, di Hospital Seberang Jaya.
Enam remaja terbabit ditahan minggu lalu, dalam operasi yang dilancarkan Cawangan Khas Polis Bukit Aman selama dua hari bermula 14 Februari di Lembah Klang, Johor, Kedah dan Terengganu.
Polis sebelum ini mendedahkan, selain melafazkan ikrar atau ‘bai’ah’ kepada pemimpin ‘Islamic State’ (IS), suspek turut merancang melakukan serangan ke atas balai
polis, institusi penting kerajaan serta fasiliti kepentingan awam.