
SHAH ALAM, 19 Februari – Dua sindiket pengedaran dadah berjaya ditumpaskan menerusi beberapa serbuan berasingan di Selangor dan Kuala Lumpur dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM21 juta.
- Dua sindiket pengedaran dadah berjaya ditumpaskan dalam serbuan di Selangor dan Kuala Lumpur dengan rampasan besar.
- Lebih 158 kg dadah darat dan 170 kg dadah laut dirampas, termasuk methamphetamine, heroin, MDMA, pistol dan peluru.
- Beberapa suspek tempatan dan warga asing ditahan; kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan Akta Senjata Api.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lima lelaki tempatan berusia antara 27 hingga 37 tahun diberkas dalam Op Bena pada 12 Februari lalu.
Beliau berkata, suspek yang ditahan mempunyai rekod kes jenayah lampau dan dipercayai turut terlibat aktif dalam kegiatan gangsterisme di Lembah Klang.
“Mereka pernah ditangkap bawah SOSMA melibatkan kes bunuh, khianat api, menyebabkan cedera parah dan ugutan. Berdasarkan kesalahan lampau serta risikan polis, kumpulan ini juga terlibat dalam gangsterisme di Lembah Klang terutama di Klang,” katanya.
Datuk Hussein berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor, hari ini.
Rampasan melibatkan pelbagai jenis dadah termasuk methamphetamine, heroin dan MDMA seberat lebih 158 kilogram yang dipercayai dibawa masuk dari utara Semenanjung.
Jumlah rampasan itu dianggarkan mampu memudaratkan kira-kira 793,000 pengguna.
Sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Julai tahun lalu dengan menggunakan kenderaan yang ditinggalkan di lokasi tertentu sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diambil pembeli.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam perkembangan berasingan, cubaan satu lagi sindiket mengedar dadah menggunakan bot pancung melalui perairan Selangor dan Selat Melaka berjaya dipatahkan menerusi Op Tapis pada 12 Februari lalu.
Tiga warga asing berusia antara 26 hingga 53 tahun ditahan di Sekinchan selepas dipercayai menggunakan taktik menyamar sebagai nelayan untuk mengedar dadah ke negara jiran.

Polis turut merampas lebih 170 kilogram dadah serta sepucuk pistol dan 45 butir peluru bernilai kira-kira RM12.6 juta dalam sebuah bot.
“Kita percaya mereka bersedia dengan senjata api dan boleh bertindak jika diancam pihak berkuasa, sebab itu mereka membawa senjata api bersama peluru,” katanya.
Sindiket tersebut dipercayai aktif sejak 2021 dengan suspek utama bertindak sebagai koordinator laut dan darat.
Dua suspek lelaki didapati positif methamphetamine dan dipercayai berada di negara ini tanpa dokumen sah.
Ketiga-tiga suspek direman selama 14 hari sehingga 26 Februari bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.