Rampasan Syabu, Pil Erimin lebih RM2.7 juta

‘Runner’ direman hingga Rabu bagi membantu siasatan/Foto Hiasan

GEORGE TOWN, 9 Mac – Seorang individu ditahan bersama syabu dan pil Erimin 5 bernilai RM2.72 juta dalam serbuan di Seberang Perai Utara, minggu lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • 28 bungkusan disyaki syabu ditemui, dianggarkan melebihi 29,000 gram.
  • Empat bungkusan mengandungi 4,000 kepingan aluminium, setiap satu 10 pil Erimin 5; anggaran berat 12,546 gram.
  • Suspek 27 tahun direman hingga Rabu, disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952; berperanan sebagai 'runner' sejak Januari.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail memaklumkan suspek berusia 27 tahun itu ditahan di kawasan tempat letak kenderaan dalam operasi pada 5 dan 6 Mac.

“Sejumlah dadah dan kunci sebuah kereta ditemukan pada beg suspek. Pemeriksaan lanjut kemudian menemukan 28 bungkusan plastik disyaki syabu seberat lebih 29,000 gram,” katanya menerusi kenyataan.

Hasil soal siasat, sebuah lagi kenderaan diperiksa di lokasi sama dan menemukan empat bungkusan plastik mengandungi 4,000 kepingan aluminium yang setiap satu berisi 10 biji pil Erimin 5 dianggar seberat 12,546 gram.

Siasatan awal mendapati suspek negatif dadah, namun mempunyai rekod kesalahan dadah dan bertindak sebagai ‘runner’ sejak Januari lepas.

Suspek kini direman hingga Rabu ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.