
KOTA BHARU, 18 Mac- Seorang lelaki didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap bekas tunangnya pada 21 Februari lalu.
- Tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap bekas tunangnya.
- Mahkamah menjatuhkan denda; perintah penjara empat bulan jika denda tidak dibayar.
- Pertengkaran di rumah sewa menyebabkan pergelutan dan lebam pada lengan mangsa.
Majistret Raus Imran Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap Syed Zamri Syed Zainuddin, 20, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara empat bulan sekiranya Syed Zamri gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Syed Zamri didakwa sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Putri Fasha Felisa Mohd Izhan, 19, di sebuah rumah di Taman Ehsan, di sini, pukul 5.30 petang, 21 Februari lepas.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli mengendalikan prosiding pendakwaan, manakala Syed Zamri diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Nazriani Nik Ab Rahman.
Muhammad Syamsul Ikhmal memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada pesalah dan masyarakat.
Nik Nazriani pula memohon hukuman denda minimum memandangkan ia adalah kesalahan pertama Syed Zamri dan dia berjanji tidak akan mengulanginya.
Menurut fakta kes, kejadian berlaku ketika mangsa berada di rumah sewa Syed Zamri sebelum berlaku pertengkaran sehingga pergelutan menyebabkan mangsa mengalami lebam pada bahagian lengan kanan dan lengan bawah kanan.