PSP Bukit Aman dan MPOB Johor tumpaskan kegiatan simpan minyak sawit haram

FOTO FACEBOOK PASUKAN SIMPANAN PERSEKUTUAN

KULAI, 22 Januari – Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Johor berjaya menumpaskan kegiatan penyimpanan minyak sawit mentah secara haram melalui Operasi Bersepadu Intra dan Inter Agensi, Op Taring Palma, di Kawasan Perindustrian Kulai Timur.

RINGKASAN BERITA AI
  • PSP Bukit Aman dan MPOB Johor menjalankan serbuan hasil maklumat awam terhadap premis menyimpan SPO tanpa lesen.
  • Rampasan bernilai dianggarkan RM805,850 termasuk kenderaan berat, peralatan industri dan minyak sawit mentah.
  • Tiga lelaki ditahan dan semua rampasan diserahkan kepada MPOB Johor untuk tindakan di bawah Akta 582.

Komander Pasukan Simpanan Persekutuan, SAC Rosli Md Yusof dalam kenyataan berkata berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat awam oleh sepasukan pegawai daripada Cawangan Risik PSP Bukit Aman ke atas sebuah premis tidak bernombor pada kira-kira pukul 4.15 petang.

“Pemeriksaan mendapati premis tersebut digunakan untuk menyimpan minyak sawit mentah jenis Palm Oil Sludge (SPO) tanpa lesen yang sah.

“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM 805,850”, katanya dalam kenyataan.

Dalam operasi berkenaan juga, tiga lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan.

Turut dirampas beberapa kenderaan berat, peralatan industri serta sejumlah minyak sawit mentah yang disyaki diproses dan disimpan secara tidak sah.

Kesemua tangkapan dan barang rampasan telah diserahkan kepada Pegawai Penguatkuasa MPOB Johor untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 78, Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582).