Premis disyaki proses e-waste diserbu, sitaan hampir RM1.9 juta

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad/Foto BERNAMA

SEREMBAN, 19 Februari – Sebuah premis yang dipercayai memproses sisa elektronik (e-waste) secara haram diserbu dalam Op Hazard di Senawang Land Industrial Park, dengan nilai sitaan keseluruhan hampir RM1.9 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serbuan Op Hazard di premis Suspek memproses sisa elektronik secara haram, disyaki menyebabkan pencemaran alam sekitar.
  • Kira-kira 115 tan bahan hancur ditemui, dipercayai sisa plastik bernilai anggaran RM577,000.
  • Tiga mesin penghancur/pelebur disita, 12 warga asing ditahan kerana gagal tunjuk dokumen pengenalan.
  • Premis beroperasi tanpa kelulusan JAS; arahan hentikan operasi dikeluarkan dan pemilik boleh didenda atau dipenjara.

Serbuan pada 16 Februari itu dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, premis yang beroperasi sejak 2018 itu dipercayai menyalahgunakan lesen perniagaan dan menjalankan aktiviti memproses sisa elektronik tanpa kelulusan pihak berkuasa sehingga menyebabkan pencemaran alam sekitar.

“Kita telah menemui hampir 115 tan bahan yang telah dihancurkan menjadi karbon hitam hancur ataupun halogenated polycyclic aromatic hydrocarbon (HPA) yang dianggarkan bernilai kira-kira RM577,000. Pada peringkat awal kita syak bahan ini sebagai e-waste tetapi kemungkinan besar ia merupakan sisa plastik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan.

Turut disita tiga mesin penghancur atau pelebur bernilai kira-kira RM400,000 setiap satu, menjadikan keseluruhan nilai sitaan sekitar RM1.2 juta.

Dalam operasi sama, 12 warga asing yang dipercayai bekerja dan tinggal di premis berkenaan ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri atau pasport.

Mereka terdiri daripada lapan lelaki warga Myanmar, tiga lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga China berusia antara 20 hingga lingkungan 50-an.

Pemilik premis, seorang lelaki tempatan berusia 65 tahun, tidak berada di lokasi ketika operasi dijalankan.

Siasatan mendapati premis tersebut beroperasi tanpa surat pemakluman di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

Kilang itu juga didapati menjalankan aktiviti basuhan sisa plastik tanpa sistem pengolahan efluen perindustrian, sekali gus melanggar Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

Jika disabitkan kesalahan, pemilik boleh didenda sehingga RM100,000 bagi setiap kesalahan atau dipenjara atau kedua-duanya sekali.

JAS turut mengeluarkan Perintah Operasi Kelengkapan di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang mengarahkan premis menghentikan operasi serta-merta.