Polis tahan seorang lagi suspek “Geng Captain Praba”

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Februari – Seorang lagi lelaki ahli kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai “Geng Captain Praba” ditahan menerusi Operasi Jack Sparrow di Bangkok, Thailand, pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek ditahan berdasarkan waran tangkap Mahkamah Sesyen Sepang pada 14 Januari lalu.
  • Disiasat di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan, hukuman lima hingga dua puluh tahun penjara.
  • PDRM menghargai kerjasama pihak berkuasa Thailand dan komited menegakkan kedaulatan undang-undang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata suspek ditahan berdasarkan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen Sepang pada 14 Januari lepas.

Menurut beliau, penangkapan itu dilakukan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan di Bangkok, sebelum dibawa pulang ke Malaysia untuk tindakan lanjut.

“Suspek kini disiasat kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dan disiasat di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum sehingga dua puluh tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Datuk M. Kumar berkata suspek juga turut disyaki terlibat dalam satu kes di Subang Jaya pada Januari tahun lepas melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan serta memiliki senjata maut dalam rusuhan yang disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Suspek berkenaan dituduh di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan hari ini di Mahkamah Sesyen Sepang.

Manakala bagi pertuduhan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 148 kanun sama akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Thailand atas kerjasama erat yang diberikan dan menegaskan komitmen berterusan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Majlis Konvokesyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan

TEMAN TEKUN Sabah salur RM25.17 juta sepanjang 2025, perkasa usahawan tempatan

Artikel Tajaan