
KUALA LUMPUR, 18 Februari – Polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 67 tahun yang disyaki terlibat dalam beberapa kes khianat dengan memecahkan skrin mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sekitar kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
- Polis menahan seorang lelaki tempatan 67 tahun disyaki memecahkan skrin beberapa mesin ATM di kawasan IPD Sentul.
- Suspek dipercayai menggunakan seketul batu selepas gagal mengeluarkan wang; barang rampasan termasuk motosikal dan topi keledar.
- Lima kes khianat ATM diselesaikan; siasatan lanjut berjalan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Basri Sagoni berkata tangkapan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sentul pada pukul 3.21 petang tadi susulan maklumat yang diterima.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai masuk ke dalam kaunter mesin ATM sebelum memecahkan skrin mesin berkenaan menggunakan seketul batu selepas gagal mengeluarkan wang.
“Polis turut merampas pakaian yang dipakai suspek ketika kejadian, sebuah motosikal, sebuah topi keledar dan batu yang digunakan dalam perbuatan tersebut.
“Dengan tertangkapnya lelaki berkenaan, polis berjaya menyelesaikan lima kes khianat pecah skrin mesin ATM yang dilaporkan sebelum ini,” jelas beliau dalam satu kenyataan, hari ini.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222 atau mana-mana balai polis berhampiran.