
JOHOR BAHRU, 8 Februari – Polis sedang menyiasat satu rakaman video tular di media sosial yang memaparkan kejadian buli membabitkan sekumpulan kanak-kanak, dipercayai berlaku di Kampung Melayu Majidee, di sini, baru-baru ini.
- Polis mengesan video tular memaparkan kejadian buli melibatkan sekumpulan kanak-kanak di Johor Bahru.
- Tiada laporan rasmi diterima setakat ini walaupun rakaman tersebar luas di media sosial.
- Siasatan awal dijalankan; orang awam diminta tampil memberikan maklumat di balai polis.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Penolong Pesuruhjaya Polis ACP Raub Selamat berkata, pihaknya mengesan rakaman berkenaan yang dikongsi secara meluas di platform media sosial.
Bagaimanapun, menurut beliau, pihak Polis Diraja Malaysia masih belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung kejadian tersebut setakat ini.
“Polis memandang serius sebarang isu berkaitan buli, khususnya yang melibatkan kanak-kanak. Siasatan awal sedang dijalankan bagi mengenal pasti kesahihan maklumat serta individu-individu yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membuat laporan di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.