
SHAH ALAM, 22 Februari -Polis sedang mengesan sekumpulan lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel di kawasan Seksyen 3 di sini, susulan penularan satu rakaman video di media sosial yang memaparkan kejadian itu berlaku pada awal pagi.
- Polis sedang mengesan sekumpulan lelaki dipercayai terlibat dalam kecurian kabel di Seksyen 3.
- Suspek menggunakan teknik mengorek tanah dan memotong kabel untuk mendapatkan tembaga.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, hukuman hingga tujuh tahun dan denda.
- Orang ramai diminta menghubungi 999 atau Inspektor Muhammad Zamri di 0111-6652402 jika ada maklumat.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima laporan daripada penduduk setempat berhubung kejadian berkenaan.
Beliau berkata kejadian disedari pada 20 Februari kira-kira pukul 5.00 pagi apabila saksi yang sedang tidur terdengar bunyi bising di luar rumahnya sebelum mendapati sekumpulan lelaki tidak dikenali sedang memotong kabel.
“Saksi cuba mengekori suspek, namun telah diberi amaran apabila suspek berpatah balik dan cuba mengejar saksi sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Ramsay berkata, polis percaya kumpulan itu aktif dan mahir dalam kegiatan mencuri kabel bagi mendapatkan tembaga berdasarkan modus operandi yang digunakan, iaitu mengorek tanah untuk mengeluarkan kabel sebelum memotongnya di lokasi yang lebih sunyi.
Beliau berkata nilai kerugian masih dalam siasatan dan usaha mengesan serta menangkap semua suspek yang terlibat sedang giat dijalankan.
Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu atau mengesan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan kecurian kabel diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Muhammad Zamri Mohd Abdul Rahman di talian 0111-6652402 bagi membantu siasatan.