Polis siasat artikel didakwa fitnah Ketua Pesuruhjaya SPRM

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M. Kumar /BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 FebruariPolis membuka kertas siasatan terhadap penyiaran artikel oleh sebuah media antarabangsa yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis membuka kertas siasatan terhadap artikel antarabangsa yang didakwa memfitnah Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.
  • Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
  • Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi sehingga siasatan selesai, selaras prinsip keadilan jenayah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M. Kumar dalam satu kenyataan memaklumkan pihak polis telah menerima laporan dan sedang menjalankan siasatan berhubung artikel berkenaan.

Artikel yang diterbitkan pada 10 Februari itu mendakwa Tan Sri Azam Baki memiliki 17.7 juta unit saham dalam sebuah syarikat.

“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan memfitnah, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali”, menurut kenyataan itu.

Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

Beliau menegaskan, siasatan masih diteruskan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan sehingga siasatan selesai, selaras dengan prinsip keadilan jenayah di negara ini. ##