Polis serah kertas siasatan kes wang perlindungan kepada TPR

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Polis telah menyerahkan kertas siasatan berhubung dakwaan dua individu daripada Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Wangsa Maju yang dipercayai meminta wang perlindungan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR), hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis menunggu arahan dan keputusan lanjut daripada pihak pendakwa raya sebelum sebarang tindakan susulan diambil.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan atas dakwaan ugutan untuk tujuan pemerasan.
  • Empat individu direkod keterangan; dua suspek ditahan kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, SAC Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya kini menunggu keputusan lanjut daripada pihak pendakwa raya sebelum sebarang tindakan susulan diambil.

“Siasatan telah dirujuk hari ini dan kita turut mengemukakan cadangan tertentu, tetapi tindakan seterusnya hanya akan diputuskan selepas arahan rasmi daripada pihak pendakwa raya diterima,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan bagi tujuan pemerasan.

Setakat ini, empat individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan. Terdahulu, dua suspek berkenaan ditahan pada 26 Mac lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Kes berkenaan menjadi perhatian selepas tular rakaman video di media sosial yang memaparkan dua individu didakwa meminta wang perlindungan daripada sebuah pusat urut di ibu negara.