Polis rampas vape, cecair bernilai lebih RM8.8 juta

Datuk Fisol Salleh

KUALA LUMPUR, 16 Februari – Polis merampas rokok elektronik dan peranti vape bernilai lebih RM8.8 juta dalam operasi bersepadu yang dijalankan serentak di seluruh negara pada 10 Februari lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis merampas e-rokok dan cecair vape bernilai RM8.876 juta dalam operasi bersepadu di 154 lokasi.
  • Operasi libatkan 2,140 pegawai PDRM dan agensi penguatkuasaan lain pada 10 Februari.
  • 141 premis dikenal pasti, 181 individu diperiksa dan empat tangkapan dibuat.

Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Datuk Fisol Salleh berkata operasi mega itu dijalankan di 154 lokasi sasaran dengan kekuatan 2,140 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi penguatkuasaan lain.

“Sebanyak 141 premis didapati terlibat secara langsung dalam aktiviti e-rokok bersama Kementerian Kesihatan. Secara keseluruhan, kita berjaya melakukan tangkapan dan rampasan dengan nilai berjumlah RM8.876 juta,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.

Seramai 181 individu diperiksa dan empat tangkapan dibuat membabitkan tiga lelaki dan seorang wanita.

Operasi diketuai Pasukan Gerakan Am (PGA) itu melibatkan Briged Utara, Briged Tengah, Briged Tenggara, Briged Sarawak dan Briged Sabah PGA selain Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Pasukan Polis Marin (PPM) serta Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK).

Turut terlibat petugas Kementerian Kesihatan, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta pihak berkuasa tempatan.