Polis perketat keselamatan sempadan susulan insiden tembakan AKPS

Sidang media disampaikan Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah

ALOR SETAR, 27 Februari – Polis tidak menolak kemungkinan insiden tembakan ke arah Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Bukit Kayu Hitam, Rabu lalu mempunyai niat untuk membunuh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis tidak gentar terhadap ugutan, sebaliknya meningkatkan kawalan keselamatan di pintu sempadan.
  • Seramai 141 pegawai dan anggota ditugaskan 24 jam untuk lindungi petugas serta Kompleks ICQS.
  • Penguatkuasaan diperhebatkan susulan rampasan besar yang dipercayai menjadi motif serangan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati pihak tertentu terhadap tindakan tegas penguat kuasa yang menjejaskan aktiviti penyeludupan haram di kawasan sempadan.

“Kita tidak boleh menafikan kemungkinan niat serangan itu sehingga boleh menyebabkan kematian berdasarkan cara tembakan dilepaskan,” katanya pada sidang media di sini.

Menurut beliau, pihak berkuasa tidak gentar dengan sebarang ugutan, sebaliknya mengambil langkah segera memperketat tahap keselamatan di pintu sempadan.

Bagi memastikan keselamatan petugas serta bangunan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, seramai 141 pegawai dan anggota polis ditugaskan secara berterusan selama 24 jam.

Katanya, anggota yang bertugas turut dibekalkan senjata berat termasuk rifel, melaksanakan rondaan berkala serta dibantu Pasukan Gerakan Am (PGA).

Datuk Adzli berkata, insiden berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa siri rampasan besar yang berjaya dipatahkan pihak berkuasa sebelum ini, termasuk rampasan kira-kira 100 tan beras, rampasan karkas babi serta penahanan lebih 100 migran tanpa dokumen.

Menurutnya, kejayaan operasi berkenaan melibatkan kerugian melebihi RM1 juta dipercayai menjadi antara motif suspek untuk menakutkan dan merencatkan tindakan penguatkuasaan di kawasan sempadan.