
SEREMBAN, 29 Januari – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempergiatkan pemantauan terhadap sektor pembinaan dengan menahan 30 lelaki warga asing dalam satu operasi bersepadu di sebuah tapak pembinaan di Nilai, Negeri Sembilan, semalam.
- Operasi Op Pintas Mega tahan 30 lelaki warga asing di tapak pembinaan Nilai untuk siasatan imigresen.
- Semak ke atas 63 pekerja asing menunjukkan hampir separuh tidak mempunyai dokumen perjalanan atau permit kerja sah.
- Saringan awal NGHTI 2.0 tidak menemui unsur pemerdagangan atau eksploitasi buruh paksa.
- Polis giat mengesan majikan yang menggaji tanpa dokumen, tindakan tegas akan diambil terhadap pesalah.
Operasi di bawah Op Pintas Mega itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai sebagai sebahagian daripada usaha berterusan membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pemeriksaan ke atas 63 pekerja asing di lokasi berkenaan mendapati hampir separuh gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.
“Seramai 30 lelaki didapati melanggar syarat imigresen, terdiri daripada 21 warga China, dua warga Bangladesh dan tujuh warga Myanmar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, semua individu terbabit telah dibawa ke IPD Nilai untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Dalam perkembangan sama, Alzafny memaklumkan saringan awal berdasarkan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0 mendapati tiada elemen pemerdagangan orang atau eksploitasi buruh paksa dalam kes tersebut.
Bagaimanapun, polis kini giat mengesan majikan serta pihak yang bertanggungjawab kerana dipercayai menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah.
“PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan tindakan tegas akan diambil bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya.