Polis perhebat operasi, 25 lagi ‘ulat foto’ dicekup

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 31 Mac –Seramai 25 lagi ‘ulat foto’ atau jurugambar jalanan ditahan polis menerusi operasi khas di Persiaran Menara Berkembar Petronas (KLCC), semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tahanan berusia 16 hingga 48 tahun; 23 lelaki, seorang wanita dari Sabah dan seorang warga Filipina.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990, serta Seksyen 148 dan 324 Kanun Keseksaan.
  • Mereka bergerak berkumpulan, menyasarkan lokasi pelancongan seperti Jambatan Saloma; kebanyakan menjadikan fotografi sumber pendapatan utama.
  • Sebelum ini 18 lelaki ditahan berhubung rusuhan 22 Mac; dua suspek didakwa, mengaku tidak bersalah dan dibenar ikat jamin RM3,000.

Penahanan itu dibuat bagi membantu siasatan berhubung kes rusuhan yang berlaku sebelum ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam, semua yang ditahan berusia antara 16 hingga 48 tahun.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 23 lelaki dan seorang wanita berasal dari Sabah, serta seorang warga Filipina.

“Kesemua individu direman selama tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 serta Seksyen 148 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini.

Tambah beliau, hasil siasatan mendapati golongan berkenaan bergerak dalam satu kumpulan dan menyasarkan lokasi tumpuan pelancong, antaranya Jambatan Saloma dan KLCC.

Menurutnya, kebanyakan daripada mereka dipercayai tidak mempunyai pekerjaan lain dan menjadikan aktiviti mengambil gambar sebagai sumber pendapatan utama.

Sebelum ini, polis telah menahan 18 lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian rusuhan serta serangan terhadap dua lelaki hingga cedera di Persiaran KLCC pada 22 Mac lalu.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila sekumpulan jurugambar jalanan atau ‘ulat foto’ memukul seorang pelancong lelaki warga India di kawasan berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Sazalee berkata, polis telah mengenal pasti dua individu yang terlibat secara langsung dalam kes tersebut, yang disiasat di bawah Seksyen 148 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Menurut beliau, kedua-dua individu itu telah dituduh di mahkamah, namun mengaku tidak bersalah dan masing-masing dibenarkan diikat jamin sebanyak RM3,000.