
KOTA BHARU, 18 Mac – Polis Kelantan menafikan kes kematian seorang doktor pelatih wanita di asrama hospital di Kuala Krai pada 6 Mac lalu mempunyai kaitan dengan kes gangguan seksual yang juga berlaku di hospital sama.
- Ketua Polis Kelantan menjelaskan kedua-dua kejadian melibatkan suspek dan mangsa berbeza walaupun berlaku di lokasi sama.
- Rakaman yang ditemui di bilik air tidak mempunyai kaitan langsung dengan mangsa kematian, kata polis, bagi mengelak sebarang spekulasi.
- Seorang doktor pelatih wanita berusia 29 tahun ditemui mati di bilik asrama; lebih 10 individu sudah direkod keterangan.
- Seorang doktor pelatih berusia 26 didakwa atas gangguan seksual dan memiliki gambar lucah, termasuk merakam wanita mandi; pertuduhan mengikut Seksyen 509.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata ia dua kes berasingan membabitkan suspek serta mangsa yang berbeza walaupun lokasinya sama.
“Tiada kaitan antara rakaman yang ditemui di bilik air dengan mangsa hospital. Ia melibatkan individu berbeza dan tidak ada hubungan dengan mangsa terbabit.
“Kita ingin mengelakkan sebarang spekulasi, jadi untuk penjelasan, rakaman itu tidak ada kaitan langsung dengan kes atau mangsa lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis peluncuran Op Selamat 26/2026 peringkat kontinjen Kelantan di Tunjong, di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan seorang doktor pelatih wanita berusia 29 tahun ditemui mati di sebuah bilik asrama hospital jam 9.55 pagi dan lebih 10 individu sudah direkod keterangan susulan kejadian terbabit.
Dalam kes berasingan, seorang doktor pelatih didakwa di Mahkamah Majistret di sini, 11 Februari lalu atas dua pertuduhan iaitu gangguan seksual terhadap seorang wanita dan memiliki gambar lucah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh berusia 26 tahun didakwa hendak mengaibkan kehormatan dengan merakam seorang wanita yang sedang mandi tanpa pengetahuan mangsa dengan menggunakan sebuah kamera berwarna hitam di bilik mandi, Aras 2, Hospital Sultan Ismail Petra di Kuala Krai, pukul 6.30 pagi, 13 September 2025.
Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara selama lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.