Polis klasifikasi semula kes koperal pukul rakan setugas sebagai kes bunuh

Allahyarham Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, 24, yang meninggal dunia pada pagi Sabtu

KUANTAN, 12 April- Polis mengklasifikasikan semula kes seorang anggota tentera berpangkat koperal memukul tujuh anggota lain termasuk menyebabkan seorang daripada mereka cedera parah di Kem Tentera Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja, Bentong, 31 Mac lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kes diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 selepas seorang mangsa disahkan meninggal dunia.
  • Permohonan bedah siasat dibuat bagi mengenal pasti punca kematian mangsa.
  • Polis akan meneliti semula keterangan dan mungkin melakukan sambungan rakaman percakapan saksi.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata kes itu diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh selepas seorang daripada mangsa meninggal dunia pada Sabtu.

“Mangsa disahkan meninggal dunia pada 9.34 pagi, menyebabkan siasatan kes berkenaan kini dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata susulan perkembangan itu, kertas siasatan yang sebelum ini dibuka di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan diklasifikasikan semula kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Zaiham berkata permohonan untuk menjalankan bedah siasat terhadap mangsa juga telah dibuat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Pihak polis turut akan meneliti semula keterangan yang telah diambil sebelum ini, dan jika perlu sambungan rakaman percakapan saksi akan dilakukan bagi membantu siasatan,” katanya.

Pada 6 April lepas, media melaporkan seorang tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bentong atas tujuh pertuduhan mencederakan anggota lain bulan lepas.