
MIRI, 8 Februari – Keseronokan anak muda melakukan aksi wheelie dan tunggang berbahaya di jalan raya berakhir dengan tindakan tegas polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Operasi Samseng Jalanan di sekitar bandar Miri.
- Operasi bersepadu polis dan JPJ menumpukan lokasi tumpuan di Miri untuk membanteras samseng jalanan dan meningkatkan keselamatan jalan raya.
- Pelbagai kesalahan dikesan termasuk lesen tamat, nombor pendaftaran palsu atau 'fancy', pengubahsuaian ekzos, dan tiada lesen memandu.
- Penahanan remaja dan penyitaan 15 motosikal dibuat sebagai tindakan tegas; orang awam dinasihatkan memandu dan menunggang secara berhemah.
Operasi bersepadu yang dijalankan bermula pukul 11 malam, Sabtu hingga 5.30 pagi tadi melibatkan beberapa lokasi tumpuan termasuk Jalan Piasau, Jalan Pujut, Jalan Tanjong, Jalan Miri By Pass dan kawasan Marina.
Ketua Polis Daerah Miri, Penolong Pesuruhjaya Polis ACP Mohd Farhan Abdullah berkata, operasi tersebut dilaksanakan bagi membanteras aktiviti samseng jalanan serta meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.
“Seramai 75 lelaki tempatan dan 11 wanita tempatan bersama 72 buah motosikal telah diperiksa sepanjang operasi ini. Hasil pemeriksaan mendapati 45 saman dikeluarkan oleh pihak trafik, manakala 33 notis pula dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Miri atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, antara kesalahan yang dikesan termasuk lesen kenderaan tamat tempoh, ketiadaan nombor pendaftaran, penggunaan nombor pendaftaran ‘fancy’, tiada lesen memandu, pengubahsuaian ekzos serta tidak mempunyai cermin sisi.
Dalam operasi sama, seorang penunggang motosikal tempatan berusia 17 tahun ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya dengan melakukan aksi wheelie.
Seorang lagi penunggang berusia 17 tahun turut ditahan di bawah Seksyen 108(3)(f) akta sama kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu pada motosikalnya.
Selain itu, sebanyak 15 buah motosikal disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut.
Sehubungan itu, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu dan menunggang secara berhemah serta berdisiplin, selain tidak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan, mengubah suai struktur asal kenderaan atau berkumpul di tepi jalan sehingga mengganggu ketenteraman awam.
“Kecuaian pemandu dan penunggang bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.