
KULAI, 11 Februari – Polis menahan empat individu dipercayai terlibat dalam kegiatan pembotolan dan penyimpanan arak tiruan bernilai kira-kira RM1.7 juta menerusi dua serbuan berasingan di Taman Mewah Kulai dan Taman Senai Utama di sini, pada 3 Februari lalu.
- Empat suspek ditahan dalam dua serbuan berkaitan pembotolan dan penyimpanan arak tiruan di Kulai dan Senai.
- Rampasan bernilai kira-kira RM1.7 juta termasuk arak tiruan, peralatan pembotolan, setem cukai dan sebuah van.
- Aktiviti dipercayai aktif sejak Ogos tahun lalu, mensasarkan warga asing dan dijual semula di premis sekitar daerah.
- Kes disiasat di bawah Seksyen Kastam, Eksais dan Imigresen; suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata dalam serbuan pertama di Taman Mewah Kulai, dua lelaki dan seorang wanita warga Myanmar berusia antara 20 hingga 30 tahun ditahan di sebuah premis yang dipercayai dijadikan lokasi pembotolan arak tiruan.
Beliau berkata serbuan kedua di Taman Senai Utama pula membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun yang dipercayai menggunakan premis berkenaan sebagai tempat penyimpanan arak tiruan.
“Arak yang dibotolkan ini dipasarkan di pasaran tempatan dengan sasaran utama warga asing yang bekerja atau menetap di Johor.
“Harga jualan dianggarkan antara RM50 hingga RM60 sebotol dan ia mendapat permintaan dalam kalangan warga asing dari Myanmar,” katanya pada sidang media kejayaan rampasan minuman keras tidak bercukai (kontraband) di Balai Polis Senai, di sini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kegiatan itu aktif sejak Ogos tahun lalu dan produk berkenaan dijual semula di beberapa premis sekitar daerah ini.

Turut dirampas dalam operasi itu ialah pelbagai peralatan pembotolan, arak tiruan, setem cukai dan sebuah van.
Keempat-empat suspek direman selama empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.