
KUALA LUMPUR, 22 Februari – Polis memburu tiga suspek dipercayai terlibat dalam kes penipuan dan pukau membabitkan seorang pesara kerajaan sehingga mangsa kerugian barang kemas bernilai kira-kira RM10,000 di sebuah pasar raya di Jalan Pandan Prima, pada Jumaat.
- Polis memburu tiga suspek terbabit dalam kes penipuan dan pukau terhadap pesara kerajaan.
- Mangsa berusia 70 tahun didatangi pasangan suami isteri dan seorang wanita dipercayai warga Indonesia.
- Suspek menipu kononnya tiket loteri RM300,000 ditukar kepada cek dan minta cagaran RM30,000.
- Mangsa kerugian barang kemas kira-kira RM10,000; kes disiasat di bawah Seksyen 420.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Penolong Pesuruhjaya Polis ACP Khairul Anuar Khalid berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa berusia 70 tahun didatangi sepasang suami isteri bersama seorang wanita dipercayai warga Indonesia yang berpura-pura meminta bantuan.
Menurut beliau, suspek mendakwa memiliki tiket loteri bernilai RM300,000 dan memerlukan bantuan mangsa untuk menebusnya kerana tidak mempunyai kad pengenalan.
“Suspek menjanjikan imbuhan kepada mangsa sekiranya membantu mereka. Wanita warga asing itu kemudian memegang mangsa sehingga menyebabkan warga emas berkenaan seperti dipukau dan bersetuju untuk membantu,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa kemudiannya dibawa menaiki kenderaan sebelum salah seorang suspek memaklumkan tiket loteri berkenaan telah ditukar kepada sekeping cek untuk ditunaikan mangsa.
Bagaimanapun, suspek meminta wang cagaran sebanyak RM30,000 sebagai jaminan mangsa tidak melarikan diri ketika proses penunaian cek dilakukan.
“Oleh kerana tidak mempunyai wang tunai, mangsa menyerahkan seutas rantai dan gelang emas bernilai kira-kira RM10,000 sebagai cagaran.
“Mangsa kemudian dibawa ke sebuah bank untuk menunaikan cek tersebut, namun sebaik sahaja wanita itu keluar dari kenderaan, kesemua suspek melarikan diri,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.