
JOHOR BAHRU, 3 Februari -Polis membongkar sindiket pengedaran dadah melibatkan cecair rokok elektronik atau vape terbesar di Johor, susulan penahanan dua lelaki di sekitar daerah itu, 29 Januari lalu.
- Serbuan di Taman Mount Austin mengaitkan rampasan 11.2 liter cecair ketamin dalam kartrij vape dan 960 gram serbuk ekstasi.
- Seorang lelaki tempatan 25 tahun ditahan sebagai penghantar dan orang tengah, aktif sejak Disember lalu.
- Seorang lelaki warga Singapura 38 tahun ditahan dipercayai menguruskan kewangan sindiket.
- Nilai rampasan dadah dianggarkan RM974,400; keseluruhan rampasan dan sitaan harta mencecah RM1.19 juta.
Serbuan di Taman Mount Austin membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun bersama rampasan 11.2 liter cecair ketamin dalam kartrij rokok elektronik serta 960 gram serbuk ekstasi.
Turut ditahan seorang lelaki warga Singapura berusia 38 tahun yang dipercayai berperanan menguruskan kewangan sindiket tersebut dalam serbuan berasingan di Taman Molek.
Ketua Polis Johor, Datuk A.B. Rahaman Arsad berkata, suspek pertama berperanan sebagai penghantar dan orang tengah serta dipercayai aktif sejak Disember tahun lalu.
Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM974,400 dengan sasaran utama pengedaran adalah pengguna pusat hiburan.
“Sindiket ini menggunakan rumah sebagai lokasi jualan dan khidmat runner dengan kaedah drop point di lokasi tertentu untuk diambil oleh pelanggan atau ejen yang ingin membeli kartrij vape mengandungi dadah.
” Vape ini diedarkan kepada golongan remaja. Itulah yang menjadi kegusaran kami, sebab itu kita tingkatkan pembenterasan modus operandi menggunakan kartrij vape ini,” katanya kepada pemberita, di sini.
Keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta mencecah RM1.19 juta.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.