Penyimpanan haram gas LPG di Kajang, tumpas

Pasukan serbuan KPDN Putrajaya menemui sebuah lori yang membawa 110 tong gas Petroleum Cecair (LPG) berkapasiti 14 kilogram/foto RTM

KAJANG, 16 Februari – Kegiatan penyimpanan haram gas petroleum cecair (LPG) berjaya ditumpaskan selepas sebuah premis tanpa nama diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), di sini pada 9 Februari lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Premis tidak berlesen di Kajang diserbu KPDN, menemui banyak tong LPG disimpan secara haram.
  • Semua tong LPG dan sebuah lori disita; rampasan dianggarkan bernilai RM83,116.
  • Tindakan undang-undang dikenakan; individu dan syarikat berdepan denda besar atau penjara.

Operasi itu dijalankan hasil risikan pasukan Pegawai Penguat Kuasa KPDN Putrajaya yang mengesan sebuah premis disyaki menjalankan aktiviti penyimpanan barang kawalan tanpa lesen yang sah.

Menurut KPDN, ketika pasukan tiba di lokasi, premis yang berpagar zink itu didapati berkunci sebelum pasukan serbuan berjaya memasuki kawasan berkenaan bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua individu warga tempatan, masing-masing seorang lelaki dan seorang perempuan, yang berperanan sebagai pemandu lori dan pemandu kereta.

“Pasukan serbuan turut menemui sebuah lori yang membawa 110 tong gas LPG jenama BHP berkapasiti 14 kilogram (kg). Selain itu, sebanyak 80 tong LPG berkapasiti 14 kg dan 50 kg turut ditemui di kawasan pelantar premis berkenaan,” jelas KPDN.

Siasatan awal mendapati bekalan LPG tersebut diperoleh daripada sebuah syarikat di Bandar Rinching, Semenyih. Namun, pemeriksaan lanjut mengesahkan premis di Kajang itu tidak memiliki sebarang lesen sah untuk menyimpan atau menjalankan urus niaga barang kawalan.

Sehubungan itu, KPDN telah menyita kesemua tong gas LPG terbabit bersama sebuah lori, dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM83,116.

Bagi tujuan siasatan lanjut, satu arahan di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] telah dikeluarkan bagi mengemukakan dokumen berkaitan serta pengisytiharan stok barang kawalan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan serta menjalankan urus niaga barang berjadual tanpa lesen sah daripada Pengawal Bekalan.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar perundangan ditetapkan.

“Individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun, manakala syarikat pula boleh didenda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama,” menurut kenyataan itu.

KPDN turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan melalui saluran rasmi bagi membanteras ketirisan subsidi negara.

Maklumat boleh disalurkan melalui WhatsApp di talian 019-848 8000, Portal e-Aduan KPDN, Pusat Panggilan 1-800-886-800 atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.