Pemilik syarikat LPG didenda RM10,000 buang sisa pembinaan secara haram

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemilik syarikat LPG didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah membuang sisa pembinaan secara haram di Lubuk Semilang.
  • Jika denda tidak dibayar, hukuman gantian penjara enam bulan dikenakan terhadap tertuduh.
  • Tertuduh mengarahkan tiga pekerja melonggokkan sisa pembinaan pada 24 November 2023.
  • Kes disiasat selepas aduan awam dan pengesahan SWCorp serta melibatkan tanah milik LADA.

LANGKAWI, 29 Januari – Seorang pemilik syarikat pembekal gas LPG didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Langkawi selepas mengaku bersalah atas kesalahan membuang sisa pepejal terkawal tanpa kebenaran di kawasan jalan masuk Lubuk Semilang, pada November tahun lalu.

Hakim Mirza Mohamad turut menjatuhkan hukuman penjara enam bulan sekiranya denda tersebut gagal dibayar terhadap tertuduh, Lee Koon Yew, 65.

Bagaimanapun, tertuduh membayar denda yang dikenakan.

Mengikut pertuduhan, Lee Koon Yew didakwa mengarahkan tiga pekerja syarikatnya untuk melupuskan sisa pepejal hasil aktiviti pengubahsuaian premis dengan melonggokkannya secara haram di jalan masuk Lubuk Semilang kira-kira pukul 6 petang, pada 24 November 2023.

Tiga hari kemudian, pada 27 November 2023 sekitar jam 6.30 petang, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Langkawi menerima aduan daripada orang awam yang disertakan dengan gambar sebagai bukti aktiviti pembuangan sisa secara haram itu.

Hasil operasi pemantauan dan serbuan mendapati terdapat longgokan sisa pepejal terkawal jenis sisa pembinaan yang dibuang di atas tanah milik Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Lee Koon Yew didakwa mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007, dan dihukum di bawah Seksyen 71(8) akta sama yang memperuntukkan denda minimum RM10,000 hingga maksimum RM100,000 atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.