
KOTA KINABALU, 8 April – Seorang lelaki maut manakala seorang lagi parah selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Kionsom, Inanam, lewat malam tadi.
- Kereta dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang treler.
- Sepasukan 10 anggota BBP Lintas bersama jentera dikerahkan ke lokasi selepas panggilan kecemasan.
- Mangsa yang tersepit dikeluarkan dengan peralatan khas, seorang dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk rawatan.
- Pemandu treler berusia 33 tahun dilaporkan selamat; operasi ditamatkan pada jam 12.50 tengah malam.
Mangsa maut dianggarkan berusia lingkungan 50-an disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala mangsa parah berusi 41 tahun.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas Noor Sherriyana Bohari berkata, sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan, sepasukan 10 anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
Berdasarkan siasatan awal. beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, kereta dipandu mangsa hilang kawalan sebelum merempuh belakang sebuah treler, menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan sebuah treler dan kereta kompak. Siasatan awal mendapati kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang treler,” katanya dalam satu kenyataan.
Kedua-dua mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Manakala seorang lagi mangsa yang mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE1) untuk rawatan lanjut.
“Pemandu treler berusia 33 tahun dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Menurutnya lagi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.50 tengah malam.