
IPOH, 15 Mac – Seorang pelajar institusi pengajian tinggi berusia 19 tahun ditemukan meninggal dunia di dalam longkang berhampiran padang di Jalan Menglembu Impiana 12, Taman Menglembu Impiana Adril, di sini pagi tadi.
- Mangsa ditemukan terlentang dalam longkang dengan kesan darah di bahagian mulut.
- Bedah siasat mendapati punca kematian akibat kecederaan kepala disebabkan jatuh dari tempat tinggi.
- Pemeriksaan di tempat kejadian tidak menemui kesan pergelutan atau unsur jenayah; kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
- Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Muhammad Najib Hamzah dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mangsa kira-kira 11.45 pagi.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa ditemukan dalam keadaan terlentang di dalam longkang dengan kesan darah di bahagian mulut.
“Bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan di kepala disebabkan jatuh dari tempat tinggi,” menurut kenyataan itu.
Pemeriksaan lanjut di tempat kejadian bagaimanapun tidak menemui sebarang kesan pergelutan atau unsur jenayah. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan pihak polis.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.