
KUANTAN, 29 Mac – Seorang pesara berputih mata selepas mengalami kerugian lebih RM337,000 akibat terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang menawarkan pulangan tinggi menerusi Facebook, awal tahun ini.
- Mangsa dihubungi melalui WhatsApp selepas tertarik iklan dan diarahkan membuat beberapa transaksi sebagai syarat penyertaan.
- Mangsa melakukan 38 pindahan ke 16 akaun, guna simpanan dan barang kemas gadaian; cuma terima RM392.11 sebelum diminta bayaran pengeluaran RM210,500.
- Semua urusan hanya melalui WhatsApp tanpa platform sah; mangsa buat laporan di IPD Kuantan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata wanita berusia 61 tahun itu tertarik dengan iklan pelaburan sebelum berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp.
Menurutnya, mangsa kemudian diarahkan membuat beberapa transaksi kewangan sebagai syarat penyertaan dan kononnya bagi melancarkan proses keuntungan.
“Mangsa melakukan sebanyak 38 transaksi pindahan wang ke dalam 16 akaun berbeza menggunakan wang simpanan sendiri serta hasil gadaian barang kemas bermula 30 Jan hingga 9 Mac lalu.
“Bagaimanapun, sepanjang tempoh itu mangsa hanya menerima satu bayaran berjumlah RM392.11 sebelum diminta membuat bayaran tambahan RM210,500 sebagai caj pengeluaran keuntungan, yang akhirnya menimbulkan rasa curiga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata semua urusan berkaitan pelaburan termasuk maklumat keuntungan hanya dimaklumkan melalui WhatsApp tanpa sebarang platform yang sah.
Katanya, mangsa kemudian tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.