
KUANTAN, 19 Februari – Seorang pekerja swasta kerugian lebih RM600,000 selepas terperdaya skim pelaburan saham tidak wujud yang dipromosikan menerusi media sosial.
- Lelaki 57 tahun kerugian RM636,123 selepas terperdaya skim pelaburan saham palsu disebarkan melalui WhatsApp.
- Skim menjanjikan pulangan 30% sebulan dengan modal minimum RM10,000 untuk mengaburi mangsa.
- Aplikasi memaparkan keuntungan palsu sehingga RM1.84 juta tetapi pengeluaran ditangguhkan dan meminta bayaran tambahan.
- Orang ramai dinasihatkan semak nombor akaun di laman Semak Mule dan hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan 997.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, lelaki tempatan berusia 57 tahun itu berurusan dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp sebelum ditawarkan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan keuntungan 30 peratus dalam tempoh sebulan dengan modal minimum RM10,000.
“Mangsa turut diarahkan memuat turun satu aplikasi pelaburan sebelum membuat empat transaksi pindahan wang ke empat akaun bank berbeza antara 9 Januari hingga 11 Februari menggunakan simpanan sendiri serta pinjaman ahli keluarga, membabitkan kerugian keseluruhan sebanyak RM636,123,” katanya dalam satu kenyataan.
Melalui aplikasi tersebut, mangsa dipaparkan keuntungan kononnya meningkat sehingga RM1.84 juta termasuk komisen pelaburan.
“Namun apabila mangsa ingin mengeluarkan wang pelaburan, suspek memberi pelbagai alasan dan meminta bayaran tambahan sebelum proses pengeluaran boleh dibuat,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan membuat semakan nombor akaun melalui laman Semak Mule sebelum melakukan transaksi dan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan di talian 997 sekiranya menjadi mangsa penipuan.