Pecah masuk kedai secara solo, lelaki diberkas polis

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, SAC Mohamad Lazim Ismail (Tengah) / RTM

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai memecah masuk premis sekitar ibu negara sejak tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Terlibat sekurang-kurangnya 30 kes pecah kedai; jumlah kerugian dianggarkan RM59,546.
  • Beroperasi solo, menyasarkan premis berisiko rendah; goncang atau pecahkan pintu kaca untuk melarikan peti wang tunai.
  • Mempunyai 26 rekod jenayah lampau; baru dibebaskan Mac 2025 dan kembali aktif sejak Julai tahun lalu.
  • Polis merampas dua motosikal dilapor hilang dan 11 barangan lain; suspek direman hingga 2 April di bawah Seksyen 457.

Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, SAC Mohamad Lazim Ismail, lelaki tempatan berusia 44 tahun itu dipercayai terlibat sekurang-kurangnya 30 kes pecah kedai dan menyasarkan peti wang tunai atau ‘cash box’ dengan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan mencecah RM59,546.

Suspek berjaya ditahan oleh Bahagian D4, Jabatan Siasatan Jenayah IPD Wangsa Maju menerusi Op Cash Box hasil risikan yang dijalankan sejak Julai tahun lalu.

“Suspek dipercayai bergerak secara solo dengan menyasarkan premis berisiko rendah sebelum memecah masuk dan melarikan peti wang tunai.

“Suspek akan cuba menggoncang pintu kaca premis, dan sekiranya gagal, akan memecahkannya menggunakan batu sebelum melarikan peti wang tunai dari kedai berkenaan,” katanya pada sidang media pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di ibu negara.

Menurut beliau, suspek mempunyai 26 rekod jenayah lampau dan baru sahaja dibebaskan dari penjara pada Mac 2025 atas kesalahan sama sebelum kembali aktif melakukan jenayah pada Julai tahun lepas.

Tambahnya, suspek yang juga gelandangan sering berpindah-randah termasuk bermalam di masjid bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Jelasnya, suspek dipercayai aktif di beberapa kawasan termasuk Dang Wangi, Cheras, Sentul dan Brickfields.

“Polis turut merampas dua motosikal yang dilaporkan hilang di Jinjang dan Dang Wangi serta 11 barangan lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah itu.

Suspek kini direman sehingga 2 April bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.