OPS TIRIS 4.0: Sindiket manipulasi diesel bersubsidi nelayan lebih RM700,000 tumpas

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar sedang memeriksa minyak diesel bersubsidi yang telah dirampas dalam kejadian di Pengkalan Jeti, Kampung Genting, Tumpat / FB KPDN Kelantan

TUMPAT, 13 April – Taktik licik sindiket mengubah suai tangki simpanan ikan pada bot nelayan bagi tujuan penyelewengan diesel bersubsidi tumpas dalam operasi di Pengkalan Kubor, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Empat lelaki tempatan ditahan, 3,300 liter diesel bersubsidi dirampas, dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.
  • Sindiket memindahkan bekalan dari bot Kelas A ke bot Kelas C dengan tangki gentian kaca yang diubah suai.
  • Penggunaan hos, mesin pam dan tong plastik disembunyikan dalam ruang simpanan ikan untuk menyalurkan diesel.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961; KPDN cadang penempatan polis di 18 stesen dalam 25 km sempadan.

Empat lelaki tempatan ditahan bersama rampasan 3,300 liter bahan api yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran menerusi jalan laut.

Timbalan Pengarah KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar menjelaskan sindiket berkenaan menggunakan bot Kelas A untuk memindahkan bekalan ke bot Kelas C yang telah diubah suai dengan tangki gentian kaca.

Selain penggunaan hos dan mesin pam, terdapat juga bot yang menyembunyikan tong plastik berisi diesel di dalam ruang simpanan ikan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 atas cubaan menyeludup bahan kawalan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, KPDN sedang memperinci cadangan penempatan anggota polis di 18 stesen minyak yang dikenal pasti sebagai kawasan panas penyeludupan.

Tumpuan utama diberikan kepada stesen dalam lingkungan 25 kilometer dari sempadan melibatkan daerah Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah hingga ke Jeli.