
RANTAU PANJANG, 1 Februari – Operasi bersepadu yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Ops Tiris 3.0 sejak 2024 menunjukkan
penurunan terhadap penyelewengan barangan bersubsidi.
- Ops Tiris 3.0 berjaya mengurangkan kes penyelewengan barangan bersubsidi secara konsisten sejak pelaksanaan.
- Rampasan dan aduan awam menurun, menunjukkan keberkesanan penguatkuasaan dan langkah pemantauan KPDN.
- Tindakan tegas termasuk pendakwaan, penggantungan lesen dan peningkatan sistem eCOSS diperketatkan kawalan subsidi.
Ketua Pengarah KPDN, Datuk Azman Adam berkata, keberkesanan menunjukkan keberkesanan strategi KPDN dalam melindungi sumber negara daripada terus diseleweng oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Tambah Datuk Azman “Berdasarkan data KPDN, kes mula menunjukkan penurunan sebanyak 14.2 peratus sejak Ops Tiris 3.0 diperkenalkan pada 1 Januari 2024.
Daripada dua-ribu 738 kes berkaitan penyeludupan dan penyelewengan dihasilkan pada 2024 menurun kepada 2,348 kes pada tahun lalu.
Begitu juga dengan nilai rampasan dimana pada tahun 2024 KPDN mencatatkan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM91.5 juta berbanding tahun lalu menurun kepada RM81.6 juta.”
Sepanjang 2024, Ops Tiris 3.0 merekodkan 43,444 pemeriksaan di seluruh negara dengan 621 tangkapan.
Pada tahun 2025, walaupun jumlah pemeriksaan meningkat kepada 47,206 namun jumlah kes menurun dan nilai rampasan susut sebanyak 10.8 peratus kepada RM81.6 juta.
Bagi Januari tahun ini sebanyak 3,237 pemeriksaan telah dijalankan setakat Januari dan mencatatkan 183 kes, 39 tangkapan serta rampasan bernilai RM5.73 juta.
Analisis mengikut komoditi mendapati petrol, diesel dan minyak masak kekal sebagai barangan kawalan utama yang sentiasa diseleweng, namun jumlah kes tiga komoditi itu menunjukkan penurunan yang konsisten.
Kes berkaitan petrol menurun daripada 969 kes pada 2024 kepada 797 kes pada 2025, manakala 49 kes direkodkan setakat Januari 2026.
Kes diesel pula berkurang daripada 744 kes kepada 503 kes, sementara kes minyak masak menurun daripada 479 kes kepada 404 kes bagi tempoh sama.
Selain pendakwaan dan kompaun, tindakan tegas turut diambil termasuk penarikan serta penggantungan lesen borong dan runcit, selain penggantungan kuota Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) terhadap syarikat pembungkus yang melanggar peraturan.
KPDN turut memperkukuh penguatkuasaan melalui audit forensik rantaian bekalan, selain menaik taraf sistem eCOSS bagi pemantauan masa nyata serta kawalan pengedaran minyak masak paket menerusi mekanisme zon dan had pembelian.
Keberkesanan Ops Tiris turut diterjemahkan menerusi penurunan aduan awam berkaitan barangan kawalan bersubsidi daripada seribu-460 aduan pada 2024 kepada 1,399 aduan pada 2025, dan tahun ini hanya 115 aduan dicatatkan setakat Januari.
KPDN akan terus memperkukuh strategi penguatkuasaan secara bersepadu bagi memastikan subsidi kerajaan benar-benar dimanfaatkan golongan sasar dan tidak terus diseleweng.