
KUALA TERENGGANU, 13 April – Sebanyak RM11 juta nilai rampasan melibatkan 239 kes direkodkan menerusi Op Tiris 4.0 yang dilaksanakan bagi membendung ketirisan diesel dan barangan kawalan di seluruh negara.
- Operasi dari 16 Mac hingga semalam mencatat lebih 13,700 pemeriksaan dan 68 individu ditahan untuk membantu siasatan.
- Penguatkuasaan dipergiat susulan perbezaan ketara antara harga diesel bersubsidi dan harga komersial berisiko menimbulkan penyelewengan.
- Langkah diperketat termasuk larangan penggunaan kad kredit asing di pam untuk kenderaan berdaftar luar negara.
- Pembelian bahan api di kawasan sempadan dihadkan kepada maksimum 20 liter; kenderaan membawa barang keperluan terus menerima subsidi.
Operasi yang berlangsung dari 16 Mac hingga semalam itu turut menyaksikan lebih 13,700 pemeriksaan dijalankan, selain 68 individu ditahan bagi membantu siasatan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata penguatkuasaan terus dipergiat susulan perbezaan ketara antara harga diesel bersubsidi dan harga komersial yang berisiko mendorong berlakunya penyelewengan.
Menurut beliau, antara langkah yang diperketatkan termasuk larangan penggunaan kad kredit asing di pam minyak bagi kenderaan berdaftar luar negara, selain mengehadkan pembelian bahan api di kawasan sempadan kepada maksimum 20 liter.
“Kenaikan harga minyak dalam negara masih dalam kawalan kerana kerajaan telah mengambil langkah sewajarnya. Kenderaan yang membawa barangan keperluan masih menerima subsidi menerusi sistem yang ditetapkan.
“Namun, terdapat juga faktor yang berada di luar kawalan kita, terutama melibatkan situasi geopolitik,” katanya kepada media selepas melakukan pemantauan di stesen Petronas Kuala Ibai, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Datuk Dr Fuziah, berkata bekalan bahan api negara setakat ini dilaporkan kekal stabil meskipun terdapat gangguan kecil di beberapa lokasi.
Katanya, keadaan itu disifatkan sebagai kes terpencil yang berpunca daripada kelewatan bekalan atau isu teknikal, dan tidak menjejaskan keseluruhan rantaian bekalan negara.