Op Bongkar: 213 kontena disyaki e-waste disita

FOTO RTM

PELABUHAN KLANG, 13 Mac – Sebanyak 213 kontena berjaya disita oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam Op Bongkar yang dilaksanakan dari 3 hingga 9 Mac lalu kerana disyaki mengandungi sisa elektronik (e-waste).

RINGKASAN BERITA AI
  • JAS mendapati 148 kontena mengandungi buangan terjadual, termasuk e-waste, bateri asid plumbum, bateri lithium dan campuran.
  • 65 kontena mengandungi sisa plastik dan skrap logam.
  • 103 notis dikeluarkan kepada konsaini bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling; arahan kembalikan sisa ke negara asal.
  • Operasi bersepadu bersama AKPS, LPK, SIRIM; Malaysia tegas tidak benarkan import buangan terjadual selaras Konvensyen Basel.

Pemeriksaan lanjut oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati 148 kontena mengandungi buangan terjadual, termasuk 103 kontena e-waste, 24 kontena buangan bateri asid plumbum, tiga kontena buangan bateri lithium serta 18 kontena campuran buangan terjadual dan bukan terjadual.

Sementara itu, 65 kontena lagi didapati mengandungi sisa plastik dan skrap logam.

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Anis Rizana Mohd Zainudin berkata sebanyak 103 notis arahan telah dikeluarkan kepada pihak konsaini di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi mengarahkan sisa berkenaan dipulangkan semula ke negara asal.

‘Siasatan juga mendapati kira-kira 90 peratus kontena yang mengandungi buangan terjadual dan e-waste (sisa elektronik) tersebut berasal dari Amerika Syarikat, manakala selebihnya dari beberapa negara lain,’ tambah beliau lagi ketika melakukan tinjauan ke Pelabuhan Klang bersama pengurusan tertinggi NRES serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Operasi berkenaan dilaksanakan secara bersepadu bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan SIRIM.

Malaysia kekal dengan pendirian tegas untuk tidak membenarkan sebarang pengimportan buangan terjadual, khususnya e-waste, selaras dengan komitmen negara di bawah Konvensyen Basel yang mensyaratkan kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekitar bagi setiap pergerakan rentas sempadan melibatkan buangan tersebut.

Dalam lawatan sama, Ketua Setiausaha NRES turut mengadakan mesyuarat koordinasi bersama AKPS, JKDM dan LPK bagi memperkukuh kerjasama strategik antara agensi serta mempercepatkan penyelesaian isu lambakan kontena berkenaan.