LTSIP tumpuan ‘mat rempit’, JPJ-JSPT kesan 132 kesalahan jalan raya

JPJ dan JSPT laksana Operasi Bersepadu di sekitar Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) selepas terima laporan ia menjadi litar ‘mat rempit’.

KOTA BHARU, 11 April – Sebanyak 171 notis atas pelbagai kesalahan jalan raya dan 16 kenderaan disita dalam operasi penguatkuasaan di sekitar Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi JPJ dan JSPT di LTSIP bermula 4 petang hingga 2 pagi; 205 kenderaan diperiksa, 132 diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.
  • Polis merekod 91 kes dan menyita 11 kenderaan; 12 individu saringan air kencing didapati negatif dadah.
  • JPJ rekod 41 kes, keluarkan 80 notis dan sita lima kenderaan; kes termasuk ubah suai ekstrem dan pertukaran enjin tanpa kebenaran.

Operasi bersepadu dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan itu bermula 4 petang semalam hingga 2 pagi tadi.

Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah berkata sepanjang operasi, sebanyak 205 kenderaan telah diperiksa dengan 132 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan termasuk pelesenan pemandu dan kenderaan, pengubahsuaian teknikal serta pelanggaran undang-undang lalu lintas.

“Bagi tindakan oleh polis, sebanyak 91 kes direkodkan dengan 11 kenderaan disita melibatkan 10 motosikal dan sebuah kereta manakala 12 individu yang menjalani saringan air kencing didapati negatif terhadap dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata JPJ merekodkan 41 kes dengan pengeluaran 80 notis atas pelbagai kesalahan, selain menyita lima kenderaan terdiri daripada empat motosikal dan sebuah kereta untuk tindakan lanjut.

Sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC dan penunggangnya turut dikenakan 13 saman atas kesalahan ubah suai ekstrem, tidak memiliki lesen memandu serta lesen kenderaan motor telah tamat tempoh sejak 2018 manakala sebuah kereta jenis Honda turut disita kerana menukar enjin tanpa kebenaran. – BERNAMA