
PUTRAJAYA, 10 April – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat terhadap dakwaan salah guna kuasa yang dikaitkan dengan seorang bekas menteri.
- Dakwaan skandal projek mesin layan diri libatkan transaksi RM500,000 tular di portal dalam talian.
- Laporan polis dibuat dua hari lalu untuk membolehkan siasatan jenayah dan elak spekulasi masyarakat.
- Dokumen didakwa lengkap termasuk transaksi bank, profil individu dan sebut harga; kesahihan diserahkan kepada pihak berkuasa.
Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur) berkata gesaan itu selepas maklumat yang tular di sebuah portal dalam talian berhubung dakwaan skandal projek mesin layan diri dengan transaksi berjumlah RM500,000.
Ketua Biro Politik SEKPUR, Shahbudin Embon berkata dakwaan membabitkan bekas menteri itu perlu disiasat secara telus dan menyeluruh.
“Kami menyerahkan perkara ini kepada SPRM untuk dinilai dan disiasat mengikut peruntukan undang-undang. Fokus kami adalah kepada integriti pentadbiran dan kepentingan awam,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Menurutnya, laporan polis turut dibuat pada dua hari lalu bagi membolehkan siasatan dijalankan dari sudut jenayah selain mengelak spekulasi dalam kalangan masyarakat.
“Kami tidak menentukan kesahihan maklumat yang tular, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara profesional,” katanya.
Beliau mendakwa dokumen yang diterima mengandungi pelbagai maklumat terperinci termasuk transaksi bank, profil individu dan sebut harga yang disifatkan lengkap namun pengesahan kesahihannya di bidang kuasa pihak berkuasa.