Namewee ada hubungan istimewa dengan pempengaruh Taiwan yang maut

KUALA LUMPUR, 11 November -Penyanyi rap tempatan, Wee Meng Chee atau Namewee, mempunyai hubungan istimewa dengan pempengaruh wanita warga Taiwan, Hsieh Yun Hsin, yang ditemukan mati di sebuah hotel di ibu negara bulan lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Namewee mempunyai hubungan istimewa dengan pempengaruh Taiwan, Hsieh Yun Hsin.
  • Kedua-duanya tiba di Malaysia bersama dan mendaftar masuk hotel bersama.
  • Namewee direman sehingga 13 November untuk membantu siasatan polis.
  • Kematian Hsieh disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan; menunggu bedah siasat dan toksikologi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, hasil siasatan mendapati, kedua-duanya telah bersama sejak dari luar negara sehingga mereka tiba di Malaysia.

“Dia (Namewee) merupakan kawan dan ada hubungan lain dengan mangsa, malah mereka ‘check-in’ bersama sebelum kejadian berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Deepavali di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Menurut Datuk Fadil, Namewee kini direman sehingga 13 November bagi membantu siasatan.

Polis juga sedang menunggu laporan penuh bedah siasat dan analisis toksikologi bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Mangsa, berusia 33 tahun, ditemukan mati dalam tab mandi di sebuah hotel di Jalan Conlay pada 22 Oktober lalu.

Kes yang pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut, kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.