
KLANG, 12 Mac – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan seludup mercun, perisa shisha dan tembakau kunyah bernilai RM1.54 juta hasil serbuan berasingan di sekitar Selangor bulan lalu.
- Pemeriksaan kontena di Puncak Alam pada 12 Jan menemui mercun bernilai RM266,319.
- 26 Jan, 13.17 tan mercun bernilai RM279,588 di Pelabuhan Barat, diisytihar salah sebagai barang hiasan parti.
- 13 Jan, 2,880 kg perisa shisha tanpa permit ditemui di Pelabuhan Barat, diisytihar sebagai minuman tenaga, bernilai RM434,016.
- Rampasan 3,900 kg tembakau kunyah di Pelabuhan Utara, Klang, import tanpa permit, bernilai RM566,816.
Pengarah JKDM Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, menerusi pemeriksaan terhadap sebuah kontena di sebuah gudang sekitar kawasan Puncak Alam pada 12 Januari lalu, menemukan sejumlah mercun bernilai RM266,319.
”Pengimportan mercun dan bunga api tertakluk di bawah permit import dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri serta Polis Diraja Malaysia sebagaimana diperuntukkan di bawah Butiran 46, Bahagian I, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Beliau berkata, menerusi pemeriksaan pada 26 Jan lepas dengan kerjasama Unit Narkotik Ibu Pejabat JKDM di Pelabuhan Barat, Klang, berjaya menemukan sejumlah tisu serta 13.17 tan mercun bernilai RM279,588 yang telah diikrar secara tidak benar sebagai barang hiasan parti dipercayai untuk tujuan eksport ke sebuah negara di Asia.
Menurutnya lagi, pemeriksaan atas sebuah kontena pada 13 Januari di Pelabuhan Barat, Klang, menemukan 2,880 kilogram perisa shisha dipercayai diimport tanpa permit yang sah berjumlah RM434,016.
Beliau berkata, pengimportan produk itu tertakluk kepada permit import dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia sebagaimana diperuntukkan di bawah Butiran 4(3), Bahagian I, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
”Produk itu juga telah diiklankan secara tidak benar sebagai minuman tenaga melalui manifes bagi mengelak dikesan JKDM,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas 3,900 kilogram tembakau kunyah bernilai RM566,816 di Pelabuhan Utara, Klang yang gagal mengemukakan permit import.
Kes disiasat di bawah seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.