
KULIM, 16 Februari – Seorang peniaga wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas tiga pertuduhan iaitu berkelakuan tidak senonoh di balai polis, melakukan khianat harta benda dan menyerang penjawat awam pada Jumaat.
- Wanita mengaku salah berkelakuan tidak senonoh di balai polis dan didenda RM1,000.
- Dia mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan khianat selepas menendang pintu kaunter hingga pecah.
- Didakwa menyerang penjawat awam dengan menumbuk muka seorang anggota keselamatan; jaminan RM3,000 ditetapkan.
Nur Aini Mohd Noor, 32, mengaku bersalah bagi pertuduhan berkelakuan tidak senonoh mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan didenda RM1,000 oleh Majistret Nur Hamizah Mat Shah.
Manakala bagi dua lagi pertuduhan dibawah Seksyen 332 Kanun Keseksaan dan Seksyen 426 Kanun Keseksaan, tertuduh mengaku tidak bersalah.
Bagi pertuduhan pertama, wanita itu dituduh berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kesat terhadap anggota polis.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh melakukan khianat harta benda dengan menendang pintu kaunter aduan sehingga pecah.
Manakala bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menyerang penjawat awam dengan menumbuk muka seorang anggota pasukan keselamatan.
Wanita itu melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di Balai Polis Sungai Kob pada Jumaat lalu.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu dan menetapkan 30 Mac ini untuk sebutan semula kes.