
TANAH MERAH, 7 Februari – Seorang lelaki putus kaki kanan selepas berlaku letupan di sebuah bengkel kereta di Kampung Air Merbo, Jedok, Tanah Merah, Kelantan semalam.
- Mangsa, mekanik 31 tahun, putus kaki kanan akibat letupan ketika membaiki kenderaan.
- Mangsa dirawat di Unit Rawatan Rapi dan keadaannya dilaporkan belum stabil.
- Siasatan awal syak punca dari kebocoran gas penyaman udara semasa kerja dijalankan.
- Tiada CCTV atau saksi bebas; forensik, UPB dan JBPM dimaklumkan untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superitenden Mohd Haki Hasbullah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.00 malam apabila orang awam memaklumkan tentang letupan tersebut.
Mangsa, Mohd Sharul Nizam Rahim, 31 tahun, yang bekerja sebagai mekanik dan tinggal di Kampung Air Merbo, dipercayai sedang membaiki kenderaan seorang diri semasa insiden berlaku.
Mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kaki kanan dan telah dikejarkan ke Hospital Tanah Merah.
Kini, beliau dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan keadaannya dilaporkan masih belum stabil.
Dalam satu kenyataan beliau berkata, punca sebenar letupan masih dalam siasatan pihak polis.
Hasil soal siasat awal bersama keluarga mangsa menunjukkan kejadian mungkin berpunca daripada kebocoran gas penyaman udara ketika mangsa sedang membaiki kenderaan.
Pemeriksaan di bengkel mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) dan tiada saksi bebas berada di lokasi semasa kejadian.
Supt Mohd Haki menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Katanya, Pasukan Forensik IPK, Unit Pemusnah Bom (UPB) IPK serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah dimaklumkan untuk menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar letupan.