MCMC tumpaskan sindiket ‘Fake BTS’ di Genting Highlands, pintas rangkaian hantar SMS scam

MCMC tumpaskan sindiket ‘Fake BTS’

KUALA LUMPUR, 31 Januari – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menumpaskan aktiviti pemancaran Stesen Pangkalan Palsu (Fake BTS) menerusi satu operasi bersepadu yang dijalankan di pusat peranginan ini, baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • MCMC berjaya menumpaskan aktiviti pemancaran Fake BTS dan mengesan dua kenderaan digunakan untuk operasi haram.
  • Peralatan Fake BTS dan peranti kawalan dirampas untuk siasatan lanjut terhadap penghantaran SMS penipuan.
  • Kes disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta peraturan teknikal, dengan hukuman denda atau penjara berat.

Kejayaan operasi merupakan hasil pemantauan teknikal dan analisis rangkaian secara berterusan oleh pihak MCMC.

Langkah proaktif tersebut diambil setelah MCMC mengenal pasti terdapat gangguan pada perkhidmatan komunikasi dan penyebaran SMS berunsur penipuan yang menyasarkan pengguna.

Berdasarkan risikan teknikal yang dijalankan, satu operasi lapangan telah dirancang dan dilaksana dengan kerjasama sebuah syarikat telekomunikasi.

Sehubungan itu, pada 19 Januari 2026, pasukan penguatkuasa MCMC berjaya mengesan dua buah kenderaan yang digunakan sebagai platform untuk menjalankan aktiviti pemancaran haram tersebut.

Hasil pemeriksaan mengesahkan berlakunya aktiviti pemintasan rangkaian telekomunikasi.

Peralatan Fake BTS dipercayai digunakan untuk menghantar SMS berunsur penipuan (scam) secara terancang kepada mangsa yang berada dalam radius pemancaran peranti.

Susulan daripada serbuan itu, pihak MCMC telah merampas peralatan Fake BTS serta peranti kawalan bagi tujuan siasatan lanjut.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] serta Peraturan 16(1)(b), Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 239 Akta 588, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1,000,000 atau hukuman penjara sehingga sepuluh tahun, atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi pelanggaran di bawah Peraturan Standard Teknik, pelaku berdepan denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun.

MCMC dalam satu kenyataan menegaskan bahawa pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang penyalahgunaan rangkaian komunikasi yang boleh menjejaskan keselamatan awam dan integriti sistem telekomunikasi negara.

Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan rangkaian komunikasi negara kekal selamat dan terpelihara daripada ancaman sindiket penipuan.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan