MCMC tumpas operasi ‘Fake BTS’ di Johor Bahru

Taktik Sindiket Fake BTS Terbongkar Di Johor Bahru/Foto MC

KUALA LUMPUR, 10 Februari – Satu lagi aktiviti sindiket pemancaran Stesen Pangkalan Palsu (Fake Base Transceiver Station – Fake BTS) berjaya dikesan di sekitar kawasan Bukit Chagar di Johor Bahru.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi bersepadu MCMC dan penyedia telekom melumpuhkan satu sindiket Fake BTS di Bukit Chagar, Johor Bahru.
  • Peranti komunikasi tidak diperakui digunakan untuk memintas rangkaian sah dan menghantar SMS palsu kepada pengguna.
  • Sindiket merekrut operator dengan bayaran harian sebagai taktik menyembunyikan struktur operasi mereka.
  • Kes disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Peraturan Teknik; hukuman termasuk denda besar dan penjara.

Operasi bersepadu bersama penyedia perkhidmatan telekomunikasi itu dijalankan susulan maklumat risikan serta pemantauan teknikal dan analisis rangkaian yang mengesan corak pemintasan rangkaian telekomunikasi dan penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu kepada pengguna.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), mengenal pasti seorang individu serta sebuah kenderaan yang digunakan sebagai platform pemancaran Fake BTS.

“Hasil pemeriksaan di lokasi mengesahkan penggunaan peranti komunikasi tidak diperakui yang berupaya memintas rangkaian sah dan menghantar SMS palsu secara terus kepada peranti pengguna di sekitarnya.

“Siasatan mendapati individu terbabit direkrut untuk mengendalikan peranti Fake BTS melalui tawaran pekerjaan dengan bayaran harian, satu taktik yang digunakan sindiket bagi memperluas operasi tanpa mendedahkan struktur sebenar rangkaian mereka,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

Penemuan itu mengukuhkan kewujudan rangkaian sindiket yang menyasarkan pengguna di kawasan tumpuan awam, sekali gus meningkatkan risiko penipuan serta mengancam integriti sistem telekomunikasi negara.

Kes disiasat di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] serta Peraturan 16(1)(b), Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 239 Akta 588, pesalah boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjarakan sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala kesalahan di bawah Peraturan 16 memperuntukkan denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya.

“MCMC tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan rangkaian komunikasi oleh sindiket tidak bertanggungjawab.

“Usaha pemantauan teknikal serta tindakan penguatkuasaan akan terus diperkasakan bagi melindungi pengguna serta memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan rangkaian komunikasi negara,” tambah kenyataan itu.