
JOHOR BAHRU, 11 Mac — Seorang wanita warga asing ditemukan maut dengan 14 kesan tikaman di sebuah bilik hotel di Taman Maju Jaya di sini kira-kira 5.30 pagi tadi.
- Mangsa berusia 37 tahun mengalami kesan tikaman pada dada, leher, tangan dan jari.
- Polis menerima maklumat dan mengerahkan anggota ke lokasi untuk siasatan lanjut.
- Siatan awal mendapati suspek dipercayai warga asing yang kini telah melarikan diri.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata mangsa berusia 37 tahun itu ditemukan dengan kesan tikaman pada bahagian dada, leher, tangan dan jari.
Beliau berkata polis menerima maklumat berhubung kejadian itu sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan lanjut.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai seorang warga asing yang kini telah melarikan diri.
“Polis sedang giat mengesan suspek bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.