
BUTTERWORTH, 12 April – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang berjaya mematahkan cubaan memindahkan kira-kira 700,000 liter minyak diesel secara haram dengan penahanan dua kapal tangki bersama 22 kru dalam operasi di perairan Bagan Ajam, di sini pada Sabtu.
- Operasi berasaskan risikan mengesan pergerakan mencurigakan; pemeriksaan mendapati aktiviti pemindahan minyak diesel Euro 5 tanpa kebenaran.
- Operasi bersepadu bersama KPDN dan bot peronda Maritim digunakan untuk pemeriksaan serta penahanan kapal dan krew yang terlibat.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 491B Ordinan Perkapalan Saudagar dan Akta Kastam 1967 kerana pemindahan tanpa kebenaran serta kegagalan dokumen.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Muhammad Suffi Mohd Ramli dalam kenyataan memaklumkan, tindakan itu hasil maklumat risikan yang diterima seawal 10.45 pagi berhubung pergerakan mencurigakan dua kapal yang bersauh di lokasi berkenaan.
“Susulan maklumat itu, satu operasi bersepadu digerakkan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang sebelum sebuah bot peronda Maritim Malaysia dihantar ke lokasi untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua kapal berada dalam keadaan bergandingan dan disyaki menjalankan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal tanpa kebenaran.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kegiatan itu melibatkan pemindahan minyak diesel Euro 5 dianggarkan sebanyak 700,000 liter, manakala anggaran keseluruhan rampasan minyak mencecah 800,000 liter,” menurut kenyataan itu.
Operasi itu turut membawa kepada penahanan 22 kru terdiri daripada warga Malaysia, Myanmar, Rusia, Filipina dan Indonesia yang berada di kedua-dua kapal berkenaan.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM2.33 bilion, merangkumi dua kapal tangki serta muatan diesel Euro 5 yang cuba diseludup dianggarkan bernilai RM5.43 juta.
Kes disiasat bawah Seksyen 491B (1)(k) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana melakukan aktiviti pemindahan kapal ke kapal tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
Siasatan turut dijalankan bawah Akta Kastam 1967 susulan kegagalan mengemukakan dokumen berkaitan pemindahan minyak serta pengisytiharan kargo.
Kesemua kru dan kapal yang ditahan dibawa ke jeti sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.